Pada 12 Februari 2013 berlaku insiden pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah oleh sekumpulan yang mengisytihar sebagai Tentera Kesultanan Sulu (Royal Sulu Force) dari Filipina. Pencerobohan bersenjata tersebut telah menjejaskan kestabilan dan keselamatan Sabah. Pencerobohan tersebut telah menyebabkan 10 orang anggota pasukan keselamatan terkorban pada 1 dan 2 Mac 2013 di Kg. Tanduo, Lahad Datu dan Kg. Simunul, Semporna. Ekoran dari insiden tersebut, Kerajaan telah mengambil keputusan melancarkan Ops DAULAT pada 5 Mac 2013 selepas penceroboh diberi masa yang cukup untuk berundur setelah semua pendekatan rundingan menemui jalan buntu. Tujuan Ops DAULAT adalah untuk memaksa penceroboh menyerah diri atau menerima akibat kesan dari tindakan mereka. Bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat di Sabah terpelihara, YAB Perdana Menteri telah mengisytiharkan pewujudan ESSZONE berkuatkuasa pada 25 Mac 2013 dan seterusnya ESSCOM ditubuhkan pada 1 April 2013.