LAHAD DATU (22 November) – Bahagian Operasi Udara Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) hari ini telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan menyelaras pengoperasian pasukan keselamatan udara termasuk memantap dan memperkukuhkan lagi aspek pemantauan dan tinjauan udara khususnya di kawasan yang disyaki menjadi laluan dan “staging point” penjenayah rentas sempadan di perairan pantai timur Sabah.
Ketua Staf Bahagian Operasi Udara ESSCOM Brig. Jen. Ayub Khan Mohamad Khan berkata langkah penyelarasan ini penting supaya semua agensi penerbangan termasuk daripada detachment skuadron-skuadron penerbangan yang terlibat secara langsung dalam pengoperasian udara di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) mengetahui peranan dan strategi diguna pakai oleh ESSCOM di dalam mengawal dan memantau perairan pantai timur Sabah dari sebarang ancaman penjenayah rentas sempadan.
Beliau berkata perbincangan ini adalah untuk mencari titik persamaan dalam usaha untuk mewujudkan keseragaman pelaksanaan pengoperasian udara yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan udara di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
“Perbincangan yang julung-julung kali diadakan ini telah dihadiri oleh semua agensi penerbangan yang terlibat secara langsung dalam tugas ini termasuk daripada Pangkalan Udara 22 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Unit Udara Kem KD Sri Semporna, Unit Udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam dan PUKALUB Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Keterlibatan dan kehadiran mereka dalam perbincangan ini telah menunjukkan komitmen tinggi pasukan Udara daripada semua agensi penerbangan di ESSZONE mengenai keseriusan pihak ESSCOM mempertahankan pantai timur Sabah daripada sebarang ancaman luar”, katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Koordinasi Operasi Udara di Pejabat ESSCOM, di sini, hari ini.
Beliau berkata penglibatan daripada mereka juga menunjukkan kesungguhan dan kesiapsiagaan pasukan udara demi untuk menjaga kepentingan dan keselamatan negeri ini dari anasir-anasir luar yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat khususnya di pantai timur Sabah yang kini menjadi tumpuan para pelancong samada dari dalam mahu pun luar negara.
Beliau berkata semua pihak telah memberikan taklimat mengenai peranan dan tugas operasi yang telah dilaksanakan di kawasan tanggungjawab (KTJ) masing-masing.
Selain itu katanya, satu sesi perbincangan untuk mengenalpasti masalah dan kekangan-kekangan yang akan dihadapi turut dikupas secara mendalam supaya satu jalan penyelesaian konkrit dapat di capai agar tidak mengganggu atau mengehadkan semua operasi pemantauan udara apabila operasi dilaksanakan kelak.
“Semua permasalahan yang dihadapi oleh semua agensi yang terlibat dalam operasi udara akan diselesaikan dengan segera supaya tidak mengganggu kelancaran operasi pemantau pasukan keselamatan dari udara”.
“Saya berharap dengan adanya perbincangan ini, Bahagian Operasi Udara ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penerbangan udara yang lain akan dapat membantu ESSCOM memantap dan memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan timur Sabah khususnya di kawasan-kawasan “hotspot” yang dsyaki mejadi laluan dan tumpuan penjenayah-penjenayah rentas sempadan melakukan jenayah penculikan”, katanya.