KOTA KINABALU (13 Nov) — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta agar pihak berkuasa khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) perlu terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di negeri ini terutamanya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Beliau berkata walaupun terdapat pelbagai kekangan termasuk keupayaan tenaga dan kewangan yang terbatas, namun usaha meningkatkan kawalan keselamatan perlu terus dilaksanakan sebaik mungkin untuk memastikan keselamatan di negeri ini terus terjamin.
“Hari ini semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah diberi taklimat mengenai keadaan keselamatan semasa di Sabah khususnya di ESSZONE oleh ESSCOM.
“Taklimat ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk Pasukan keselamatan termasuk ESSCOM bagi memastikan keadaan keselamatan di negeri terus terkawal terutamanya di kawasan pantai timur Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ringkas selepas sahaja taklimat isu dan keselamatan oleh ESSCOM di bilik rafflesia, Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.
Turur hadir Timbalan Komander ESSCOM Brig. Jen. Dato’ Badrul Hisham Mohamad, Ketua Staf Perisakan SAC Datuk Hashim Justin dan Ketua Staf Operasi Darat SAC Ahmad Fuad Othman dan Pengarah Khidmat Keurusetiaan ESSCOM En. Raymie Amiril.