LAHAD DATU (31 Oktober) – Seramai 74 individu telah diperiksa dalam Operasi Bersepadu Khas (OBK) yang diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di dua lokasi berasingan sekitar daerah ini pada Ahad lepas.
Komander ESSCOM, DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan, berkata dua lokasi tersebut ialah di Kampung Ipil dan sekitar pusat bandar Lahad Datu.
Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dilakukan selepas kesemua individu terbabit yang terdiri 44 lelaki dan 30 wanita mengemukakan dokumen pengenalan diri sah mereka.
“Selain mengesan dan menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penjualan barangan seludup, operasi ini juga bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang dan menunjukkan kehadiran pihak keselamatan terutama di kawasan-kawasan yang disasarkan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan dan penguatkuasa yang telah menyokong dan bersama-sama terlibat dalam menjayakan operasi ini. Kehadiran pasukan OBK juga mendapat sokongan yang baik dari penduduk setempat sehingga operasi ini dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang masalah,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, menerusi operasi sama kata Hazani, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah ini juga telah mengeluarkan sebanyak 16 keping notis kepada pemandu jalan raya di sini atas pelbagai kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu selain lesen memandu tamat tempoh, tidak memakai talipinggang keledar dan meletakkan kenderaan ditempat yang tidak dibenarkan.
“Kabel seberat 65 kilogram turut berjaya dirampas oleh pihak SESB kerana disyaki digunakan untuk kegiatan penyambungan elektrik secara haram,” katanya lagi.
Sementara itu, operasi yang dilaksanakan seawal pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari telah disertai 73 anggota penguatkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, MDLD, Angkatan Tentera Malaysia, SESB, Jabatan Air Daerah, Jabatan Tanah Daerah dan Pejabat Daerah Lahad Datu.
“ESSCOM akan terus fokus melaksanakan Operasi Bersepadu (OB) dari semasa ke semasa di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) dalam usaha membanteras kemasukkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk mengesan penjualan barangan seludup dan terlarang,” katanya lagi.