LAHAD DATU ( 22 SEPTEMBER) Pasukan operasi di bawah unit 13 Briged (ESSCOM), 11 RAMD telah berjaya menumpaskan dua lelaki berumur sekitar 30 – 40an yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam satu operasi serkap yang telah dilaksanakan di sekitar Felda Sahabat, Lahad Datu khamis lepas.
Panglima 13 Briged (ESSCOM), Brig Jen Hamdan Ismail berkata, hasil dari siasatan awal mendapati dadah jenis syabu disyaki akan dijual kepada penduduk tempatan mahupun warga asing di sekitar daerah ini.
Beliau berkata, ketika kejadian sepasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang menjalankan operasi Serkap 3 telah menahan dan memeriksa dua orang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang lelaki tersebut tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
“Dalam operasi berkenaan, ATM telah berjaya merampas 8 paket syabu, 3 buah telefon bimbit, dan wang tunai berjumlah RM 206.65.
“Jumlah anggaran rampasan keseluruhan adalah bernilai RM 5,520.65”, katanya dalam satu kenyataan dekat sini pada Sabtu.
Menurut Hamdan, kejayaan ini merupakan usaha berterusan 13 Briged (ESSCOM) dengan kerjasama semua pasukan operasi bagi memastikan keselamatan negara sentiasa dalam keaadaan terkawal dan tidak mudah dibolosi oleh penjenayah-penjenayah yang sentiasa mencari ruang untuk membawa masuk dan keluar barang-barang terkawal dan bersubsidi ke negara jiran.