KUNAK (21 SEPT) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada IPK Sabah, IPD Kunak, Unit Tindakan Khas dan PGA BN 17 telah menembak mati 2 suspek tali barut Culik untuk tebusan (KFR) berumur dalam lingkungan 50-an di perairan pulau Boheyan, Kunak pada jam 10.45 malam, dekat sini malam tadi.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata hasil maklumat orang awam, kira-kira pada jam 10.30 malam sepasukan anggota yang terdiri daripada ESSCOM, IPK Sabah, IPD Kunak, UTK dan PGA BATALION 17 telah digerakkan untuk melakukan Op Gasak Khas di kawasan Kg. Kunak 3.
beliau berkata apabila tiba di kawasan perkampungan berkenaan, kelihatan sebuah bot pam memecut keluar melarikan diri ke arah pulau boheyan.
“Ekoran daripada itu, sepasukan anggota yanf diketusi oleh ACP Mohd. Nasaaruddin M. Nasir telah digerakkan untuk mengejar bot pam berkenaan sehinggalah berlaku tembak menembak antara pasukan keselamatan dengan penjenayah berkenaan.”
“Kita berjaya menembak mati kedua-dua suspek berkenaan dan pemeriksaan lanjut terhadap bot pam berkenaan, pasukan keselamatan telah menemui dua pucuk revolver jenis .38 dan .22 dengan masing-masing mempunyai 1 dan 7 butir peluru hidup di dalamnya, 5 butir kelongsong peluru .38 dan sebilah pedang samurai di dalam bot pam berkenaan”, katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kunak sebentar tadi.
Turut dirampas bot pam berwarna biru kuning dan enjin pam jenama reto berwarna kuning.
Suspek tali barut adalah warga asing berumur dalam lingkungan 50-an berdasarkan kepada pemeriksaan fizikal dan Siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti identiti suspek berkenaan dan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai.