LAHAD DATU (29 Ogos) – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyifatkan kenyataan pelakon Hairul Azreen yang mendakwa hampir menjadi mangsa culik lanun ketika melakukan penggambaran filem PASKAL di kawasan Semporna, sebagai tidak berasas.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata sepanjang penggambaran filem itu di kawasan pelantar Tun Sharifah Roziah (TSR), pelakon serta semua kru pengambaran filem disertai dan dikawal oleh pasukan keselamatan terlatih yang terdiri daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL).
“Saya percaya tidak ada cubaan melakukan culik kepada mereka. Kenyataan itu mengundang persepsi negatif orang awam terhadap tahap keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).”
“Kenyataan pelakon ini juga amat mengelirukan walaupun ia mungkin hanya gimik promosi filem dan janganlah menggunakan kenyataan ini hanya untuk publisiti murahan bagi menarik minat penonton yang dijangka ditayangkan September depan.
“Setakat ini rekod menunjukkan tidak ada sebarang kejadian cubaan culik atau penculikan berlaku sepanjang 2017 dan 2018 (di pantai timur Sabah),” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hazani meminta semua pihak supaya berhati-hati apabila membuat kenyataan terutama membabitkan isu keselamatan negara khasnya di kawasan Timur Sabah.
“Tindakan undang-undang boleh diambil atas sebab menimbulkan kenyatan tidak benar serta mendatangkan kegusaran masyarakat dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam terutama sekali di kawasan ESSZONE.
“Oleh itu, saya meminta pelakon itu supaya tampil membuat laporan polis supaya pihak ESSCOM dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini Hairul Azreen mendakwa dia dan seorang lagi pelakon, Ammar Alfian nyaris menjadi sasaran lanun ketika membuat penggambaran filem PASKAL di Semporna, pertengahan tahun ini.