TAWAU (18 Ogos) – Pasukan Polis Marin (PPM) di sini telah menahan seorang lelaki kerana disyaki cuba menyeludup keluar 150 kotak minyak masak ke negara jiran tanpa memiliki sebarang dokumen atau surat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kira-kira pukul 6.00 petang di kawasan perairan Tanjung Batu, pada sabtu.
Lelaki tempatan berumur 29 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah jongkong berwarna kelabu yang dalam perjalanan dari kawasan Tanjung Batu menuju ke Pulau Sebatik oleh sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang sedang melakukan tugas Ops Landai Khas di kawasan berkenaan.
Turut disita sebuah jongkong dan 2 unit enjin sangkut jenis Yamaha 40hp dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM51,650.00.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Pangkalan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.