LAHAD DATU (14 Ogos) – Kawasan Keselamatan Khas pantai Timur sabah (ESSCOM) akan mewujudkan satu lagi Road Check Points (RCP) atau pusat pemeriksaan daratan di Sapi Nangoh, Beluran bagi membanteras elemen pergerakan jenayah yang cuba masuk ke negeri ini di kawasan berkenaan.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata kewujudan RCP Kalabakan-Sepulut banyak membantu mengekang pergerakan elemen jenayah yang menjadikan Tawau sebagai transit penyeludupan barangan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).
Beliau berkata pelbagai siri tangkapan dilakukan sepanjang RCP dilaksanakan di jalan Kalabakan-Sepulut sekaligus menyekat laluan itu daripada terus digunakan untuk penjenayah.
“RCP kalabakan memang berkesan tetapi wujud balik jalan-jalan tikus dengan banyak, antara yang kita kesan dari Kg. Murut, Kalabakan tembus ke Tingkayu, Silam dan dari Tingkayu keluar di Tongod, Sandakan,”katanya.
Jelasnya, penjenayah bukan sahaja meneroka jalan tikus di kawasan ladang kelapa sawit tetapi juga turut menceroboh kawasan hutan simpan untuk mengelak daripada RCP Kalabakan.
“Penjenayah ini sentiasa mencari ruang dan peluang malah mereka ini siap ada team (pasukan) yang memantau pihak keselamatan kita, bila clear (selamat) baru penjenayah ini bergerak.
“Tekong penjenayah ini pula bukan hanya warga tempatan malah ada warga asing sebab hasil lumayan, bayangkan Pati mereka kenakan cas minimum RM150 seorang kalau 10 orang boleh dapat RM1500semalam,”katanya.
Hazani berkata ramai pihak tidak menyukai RCP ini ekoran turut membantu kepada mengekang aktiviti pembalakan secara haram menggunakan lori.
“RCP banyak orang tak suka, sebab itu saya menitik beratkan integriti kepada semua anggota yang terlibat, saya perlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama kita sepanjang masa,”katanya lagi.
Beliau berkata RCP dicadangkan di Jalan Sapi-Nangoh berbanding Batu 32, Checkpoint Sandakan kerana penjenayah tak boleh ke Telupid dan Pitas.
“Kalau jalan Batu 32 itu boleh kerana banyak jalan tikus”, katanya.
Dalam masa sama beliau kini dalam proses menyeru semua pihak berkuasa lain membantu menjayakan RCP iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perhutanan.
Mengulas lanjut beliau berkata kemudahan rumah di Balai Polis Kalabakan akan menjadi penempatan anggota yang bertugas di RCP Kalabakan.
“Kita tahu Jalan Kalabakan-Sapulut ini digunapakai untuk pergerakan elemen jenayah untuk bersembunyi di pedalaman dan pantai barat kerana tempoh masa yang singkat, sebab itu RCP ini perlu terus ada di situ,”ujarnya.
Untuk rekod RCP Kalabakan mula dilaksana penghujung Mac tahun ini dengan beberapa kejayaan berjaya direkodkan antaranya menahan lelaki warga asing membawa peluru hidup, dan penahanan 40 Pati yang cuba ke Keningau.