LAHAD DATU (11 Ogos) – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Datuk Hazani Ghazali mengingatkan kepada semua kapal yang melalui perairan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) agar lebih waspada dan memaklumkan kedudukan pergerakan masing-masing kepada Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM.
Beliau berkata, tindakan itu bertujuan
untuk pemantauan daripada pasukan keselamatan sekali gus memudahkan pihak ESSOM membantu jika terdapat sebarang kejadian kecemasan atau jenayah yang berlaku di laut.
“Peringatan ini dikeluarkan ekoran kejadian cubaan rompakan oleh sekumpulan 10 lelaki yang tidak dikenali ke atas sebuah bot tunda di kawasan perairan Tambisan pada pukul 6 petang kelmarin.
“Walau bagaimanapun, penjenayah tersebut telah berjaya melarikan diri setelah menyedari kehadiran bot pasukan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hazani menyarankan agar kapal dan bot sentiasa mengaktifkan sistem Pengesanan Automatik (AIS), melaporkan jadual perjalanan dan menggunakan distress call sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan.
Katanya, ESSCOM tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan semtiasa komited memantau serta memperketatkan kawalan keselamatan di perairan ESSZONE khasnya di kawasan-kawasan hotspot dan disyaki menjadi laluan penjenayah rentas sempadan melakukan jenayah.
“Kerjasama semua pihak memaklumkan kedudukan semasa kapal atau bot tunda untuk tujuan pemantauan dan kawalan keselamatan kepada PUSOP penting dalam memastikan keselamatan pelayaran kapal-kapal berkenaan di perairan ESSZONE sentiasa terjamin,” katanya.
Dalam kejadian kelmarin, sebuah bot tunda bersama 5 krew yang membawa muatan minyak kelapa sawit dalam pelayaran dari Felda Sahabat ke Kuantan, Pahang dikatakan telah didatangi oleh sekumpulan 10 lelaki tidak dikenali sebaik tiba di perairan Tambisan pada jam 6.00 petang.
Kumpulan itu dikatakan telah menghampiri sebelum menaiki bot tunda berkenaan.
Bagaimanapun, dimaklumkan kesemua krew-krew berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan memasuki dek berkunci di dalam bot berkenaan lalu menghubungi pihak pasukan keselamatan.