SANDAKAN (16 Julai) – Pasukan Polis Marin (PPM) disini telah menahan 2 lelaki warga asing yang masing-masing memiliki 1.76 gram dan 9.41 gram disyaki Dadah jenis Methamphetamine (Syabu) di kawasan batu 9, jalan gereja kira-kira pukul 3.30 petang pada ahad.
Kedua-dua suspek yang berumur antara 39-43 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Dalam kes pertama, sepasukan anggota unit Risik PPM ketika membuat pemantauan dan intipan terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Apabila ditahan untuk pemeriksaan, lelaki berkenaan cuba bertindak agresif dan menyerang anggota keselamatan dengan menggunakan sebuah pisau berukuran 17 cm. Namun demikian, lelaki berkenaan berjaya ditahan.
Pemeriksaan fizikal suspek, anggota keselamatan menjumpai 1.76 gram ketulan hablur lutsinar disyaki Dadah jenis Methaphetamine (Syabu) yang dibungkus dalam 2 paket kecil yang disembunyikan dalam sebuah beg kecil yang diletakkan di dalam poket seluar sebelah kiri.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, semasa satu serbuan dibuat terhadap sebuah pondok yang terletak di atas bukit, kelihatan seorang lelaki bertindak melarikan diri dan ketika ditahan berlaku satu pergelutan antara anggota keselamatan dengan lelaki berkenaan sehingga mencederakan suspek.
Hasil pemeriksaan fizikal, anggota keselamatan menjumpai 9.41 gram disyaki Dadah jenis Methaphetamine (syabu) yang dibungkus dalam 1 plastik yang diubahsuai yang mengandungi 73 packet kecil ketulan-ketulan hablur lutsinar yang disembunyikan dalam satu beg pinggang berwarna hitam yang disandang oleh suspek.
kedua-dua suspek telah ditahan dan dibawa ke pangkalan polis marin sandakan untuk siasatan dan kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Senjata Berbahaya 1958.