LAHAD DATU (28 Jun) – Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), semalam menegaskan bahawa pihaknya akan melakukan pemeriksaan terhadap semua kapal atau bot termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik bot sekiranya disyaki atau didapati melanggar undang-undang negara.
Komandernya, DCP Datuk Hazani Ghazali, berkata perkara tersebut ditegaskan berikutan tularnya gambar melalui media sosial yang menyatakan bahawa ada kapal-kapal nelayan atau bot tertentu yang berada di kawasan ESSzone yang enggan berhenti bagi tujuan pemeriksaan oleh pihak Penguatkuasa Keselamatan.
“Hal ini berlaku kerana mereka (pemilik kapal/bot) beranggapan mereka kebal dari segi undang-undang apabila mereka membawa atau mengibarkan bendera tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Sehubungan itu, Hazani menasihatkan kepada semua penduduk di kawasan ESSzone supaya sentiasa mematuhi arahan-arahan pasukan keselamatan bagi memastikan ketenteraman awam dapat dipelihara.
“Kita juga berharap penduduk setempat sentiasa memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dan tampil menyampaikan maklumat-maklumat yang boleh mengganggu-gugat keselamatan kawasan dan perairan ESSzone,”katanya lagi.
Kelmarin, Tular sekeping gambar yang telah dimuatnaik menerusi applikasi whatsapp apabila sebuah bot nelayan yang meletakkan bendera parti tertentu dipercayai tidak mahu memberhentikan bot untuk diperiksa oleh agensi penguatkuasa semasa berada di perairan ESSZone.