TAWAU (4 Jun) – Sebanyak 260 gulung tikar dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di sini selepas cuba diseludup keluar ke negara jiran tanpa dokumen sah pada Jumaat.
Pegawai Pemerintah PPM Tawau, DSP Mohd Nazri Ibrahim berkata, selain karpet, 1,800 pek mee kuning ekonomi dan 1,100 kg tepung jagung turut dirampas dengan nilai barang rampasan dianggar berjumlah RM37,350.00
Menurutnya, sepasukan anggota yang sedang menjalankan rondaan Op Gelora di kawasan Laut Pulau Sidam telah terserampak dan menahan sebuah jongkong kayu no. pendaftaran TW 3994/6/C kira-kira jam 10.30 malam yang bergerak dari laut kawasan Sidam menuju ke Nunukan, Indonesia.
“Jongkong berkenaan dipercayai bergerak dari kawasn perairan Laut Pulau Sidam menuju ke Nunukan, Indonesia dan dibawa seorang juragan berusia 28 tahun yang hanya memiliki dokumen surat beranak”, katanya.
Juragan berkenaan yang beralamat di Kg Wallacebay Pulau Sebatik gagal menunjukkan sebarang dokumen dari Jabatan Kastam berkaitan kebenaran untuk membawa barang-barang tersebut.
Mohd Nazri berkata juragan kemudian ditahan dan jongkong disita sebelum dikawal iring ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.