LAHAD DATU (19 April) : Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu Operasi Bersepadu (OB) yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di dua kawasan perumahan setinggan di daerah ini iaitu Kampung Betik dan Kg. Jawa, dekat sini pada Khamis.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali, berkata operasi yang bermula pada jam 3.00 pagi dan berakhir pada jam 7.30 pagi itu telah memberi tumpuan terhadap beberapa kawasan perkampungan yang disyaki menjadi tempat persembunyian pendatang asing tanpa izin (PATI) di daerah ini.
“Dalam operasi berkenaan seramai 55 orang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 11 orang PATI telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragu”.
“Kesemua 11 PATI yang ditahan adalah warga Filipina yang terdiri daripada 5 lelaki dan 6 wanita termasuk 3 kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 02-60 tahun.”
“Kes akan disiasat dibawa Seksyen 15(5)(b), Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002)”, katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau berkata kesemua tahanan telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut, sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Sementara itu, ops berkenaan turut disertai oleh empat pegawai bersama 23 anggota yang terdiri daripada Jabatan Imigresen, Esscom, IPD L. Datu dan Pasukan Gerakan Am (PGA) daripada Batalion 17 Lahad Datu dan diketuai oleh Pegawai Pemerintah Medan ASP Abd. Mutalib bin Harun.
Beliau berkata operasi berkenaan telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.