Tawau (22 April) – Pasukan keselamatan yang diketuai oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 2 lelaki warga asing kerana disyaki memiliki 5 butir peluru hidup jenis shot gun dalam satu sekatan jalan raya (RCP) di kawasan kalabakan pada jam 6.30 petang kelmarin, dekat sini, pada Sabtu.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan berkata mereka ditahan ketika menaiki sebuah bas ekspress yang dalam perjalanan dari Tawau ke Keningau di kawasan berkenaan.
Beliau berkata ketika pemeriksaan dilakukan terhadap semua penumpang, kedua-dua suspek didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Mereka ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah dan diarahkan turun bersama-sama dengan barangan peribadi”.
“Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah beg sandang warna hitam yang dimiliki oleh salah daripada seorang suspek telah menemui 5 butir peluru hidup shot gun jenis 12 bore yang disembunyikan dalam beg berkenaan”, katanya.
“Hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah Kem di kawasan berkenaan mengaku memiliki sebuah senapang buatan sendiri yang digunakan untuk tujuan memburu.
“Kedua-dua suspek yang berumur 41 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Tawau untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.”, katanya.
beliau berkata ESSCOM akan sentiasa memperkemas dan memperbaiki sistem prosedur tetap dan operasi (SOP) road check point atau pusat pemeriksaan daratan yang diselaraskan oleh ESSCOM dalam usaha kita untuk mengurang aktiviti jenayah dan penyeludupan di kawasan berkenaan termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (pati) dan penyeludupan barang-barang terlarang seperti rokok dan penyeludupan migran.