KUNAK (16 Mac) – Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu (OB) yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di sebuah ladang kawasan Tingkayu , kira-kira 50 minit perjalanan daripada bandar Kunak, pada khamis.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali, berkata operasi yang bermula seawal jam 10.30 malam dan berakhir 6 jam kemudian itu, telah membuat pemeriksaan terhadap sebuah rumah kongsi pekerja yang disyaki dihuni oleh pekerja ladang yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Dalam operasi berkenaan seramai 45 orang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 25 orang pekerja telah ditahan di mana 13 orang daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragu manakala 12 orang lagi ditahan kerana tinggal melebihi tempoh yang telah ditetapkan”.
“Kesemua 25 PATI yang ditahan terdiri daripada 24 warga Indonesia dan seorang warga Filipina berumur antara 16-60 tahun.”
“Kes akan disiasat dibawa Seksyen 6(1)(c), dan Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002)”, katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau berkata kesemua tahanan telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut, sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Hazani merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kejayaan operasi berkenaan yang turut dibantu oleh IPD Kunak, ATM, Imigresen Kunak dan Lahad Datu.