LAHAD DATU (13 Mac) – Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR) dalam Operasi Bersepadu yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di Jalan Kunak-Lahad Datu, dekat sini pada Isnin.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali, berkata operasi yang bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 1.30 petang itu telah membuat pemeriksaan ke atas pemandu dan penumpang pelbagai jenis kenderaan yang melalui kawasan tersebut.
“Dalam operasi berkenaan seramai 65 orang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 10 orang PATI telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragu”.
“Kesemua 10 PATI yang ditahan terdiri daripada 7 lelaki dan tiga wanita yang berumur dalam lingkungan 8-60 tahun.”
“Kes akan disiasat dibawa Seksyen 15(5)(b), Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002)”, katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau berkata kesemua tahanan telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut, sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Sementara itu, ops berkenaan turut disertai oleh tiga pegawai serta anggota Imigresen Lahad Datu, Esscom, IPD Kunak dan ATM dan diketuai oleh Pegawai Pemerintah Medan Insp. Usman Lanaga.