LAHAD DATU (7 Mac) – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dekat sini pada selasa.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata operasi yang bermula pada jam 11.30 malam dan berakhir pada jam 2.00 pagi itu telah membuat pemeriksaan di kawasan rumah kongsi pekerja di salah sebuah kilang di batu 4, jalan segama, kira-kira 6 kilometer daripada pusat bandar Lahad Datu.
“Dalam operasi berkenaan seramai 44 orang pekerja telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 30 orang PATI telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragu”.
“Kesemua 30 PATI yang ditahan terdiri daripada 26 warganegara Filipina dan 4 warganegara Indonesia yang berumur dalam lingkungan 3-52 tahun.”
“Kes akan disiasat dibawa Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua tahanan telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut, sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Hazani merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasa yang telah terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan.
Sementera itu, beliau berkata ESSCOM dengan moto “Tiada Hari Tanpa Operasi” akan sentiasa mengambil langkah proaktif termasuk memperketatkan kawalan keselamatan di perairan negara terutamanya di kawasan sempadan yang berhampiran dengan perairan negara Filipina dengan mengadakan operasi-operasi khas secara berterusan seperti Operasi Gasak laut (OGL) dan Operasi Bersepadu (OB) bagi mengekang dan menghalang penjenayah-penjenayah rentas sempadan (KFR) dan penyeludup daripada menyusup masuk ke daerah ini dalam usaha untuk mempertingkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah sekaligus memberi keyakinan kepada semua pihak termasuk pelancong asing yang berkunjung ke negeri ini bahawa keadaan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) adalah terkawal.