TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kesal dan terkilan dengan laporan media berkaitan pendedahan nama serta identiti ketiga-tiga suspek penjenayah yang mati ditembak di Batu 3, Jalan Kalabakan-Keningau pada Selasa.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan berkata laporan yang disiar dalam akhbar berbahasa Inggeris yang telah mendedahkan nama dan identiti suspek sepatutnya tidak berlaku kerana dikhuatiri boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata pendedahan tersebut akan membantutkan lagi keseluruhan operasi pasukan keselamatan bagi mengesan dan menjejaki mereka yang terlibat temasuk menyiasat bagaimana penjenayah-penjenayah ini memperolehi senjata api serta mereka yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.
“Pendedahan nama atau kumpulan itu telah menimbulkan kegusaran kepada penduduk di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.
Hazani berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti orang atau pihak yang telah mendedahkan perkara itu bagi tindakan perundangan.
“Saya menyeru kepada rakan-rakan media supaya apa-apa pendedahan nama atau identiti suspek pada masa akan datang haruslah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa atau pihak kami sebelum dihebahkan kepada masyarakat bagi tujuan mengekalkan integriti kepentingan keselamatan dan kerahsiaan operasi,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau menyarankan penduduk di ESSZONE menyalurkan sebarang maklumat kepada pasukan keselamatan jika melihat kepada aktiviti-aktiviti mencurigakan yang menjurus kepada kegiatan jenayah.