LAHAD DATU – Seramai 197 orang diperiksa dalam Operasi Bersepadu yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di tiga lokasi berasingan dekat sini pada Rabu.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata operasi selama 6 jam yang bermula dari pukul 12.00 tengah malam itu memberi tumpuan terhadap penempatan yang disyaki menjadi tempat persembunyian pendatang asing tanpa izin (PATI) di daerah ini.
Menurutnya lagi, antara kawasan perkampungan yang terlibat ialah Kampung Desa Bajau, Kampung Silam dan kawasan Pasar Rakyat Lahad Datu.
“Daripada 197 orang yang diperiksa, seramai 15 orang telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan meragu.
“Seramai 15 orang yang terdiri daripada 13 warganegara Filipina dan 2 warganegara Indonesia telah ditahan dalam operasi berkenaan berumur antara 14 – 68 tahun.”
“Kes akan disiasat dibawa Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1952 pindaan 1963”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua tahanan telah dihantar ke pusat tahanan sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut, sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Dalam pada itu, Hazani merakamkan ucapan penghargaan dan dan terima kasih kepada semua pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasa yang telah terlibat dalam menjayakan operasi selama 6 jam berkenaan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Majlis daerah Lahad Datu.