Kuala Lumpur: Kerajaan belum berhasrat untuk membatalkan perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berkuatkuasa sejak tahun 2014.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak mahu berkompromi dengan isu keselamatan penduduk Sabah khususnya di rantau berkenaan.
“Kerajaan belum berhasrat membatalkan perintah berkurung di wilayah itu selagi soal keselamatan masih timbul iaitu isu jika dan bila (keganasan boleh berlaku).
“Soal keselamatan bukan agenda politik tetapi mengatasi segala urusan lain. Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak komited menangani isu keselamatan di kawasan itu,” katanya.
Perintah berkurung di pantai timur Sabah dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di luar pantai timur Sabah mulai 16 Julai 2014 berikutan pelbagai kes penculikan dan tembakan berlaku di kawasan resort pelancongan di sana.
Kawasan perintah berkurung bermula selepas tiga batu nautika bermula dari pantai perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.