KOTA KINABALU (30 Januari) – Tindakan akan diambil terhadap individu yang didapati memakai atau menggunakan pakaian seragam berceloreng ala-tentera atau apa jenis pakaian seragam yang menyerupai pasukan keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata, hanya pasukan keselamatan dibenarkan memakai pakaian seragam dan larangan itu adalah bagi mengelakkan sebarang kekeliruan ataupujn silap tafsir yang boleh menimbulkan kegusaran di kalangan orang ramai.
“Mereka yang dilihat membawa senjata api atau barangan menyerupai senjata akan ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pasukan keselamatan baru-baru ini telah menangkap sekumpulan individu yang memakai pakaian seperti ala-tentera di Tawau baru-baru ini.
Hazani menggesa orang ramai untuk turut bekerjasama dengan Esscom termasuk menyampaikan maklumat mengenai individu mencurigakan yang ditemui memakai pakaian seragam ‘camouflage’ itu.
Esszone diisytiharkan berikutan serangan berterusan oleh militan dan lanun dari Filipina di perairan Sabah, terutama selepas pencerobohan Lahad Datu pada Februari 2013.
Sebanyak 10 daerah di dalam kawasan Esszone meliputi daerah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau, Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beluran.