LAHAD DATU (23 Januari) – Pasukan Keselamatan yang diterajui oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menahan seramai 3 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu Operasi Bersepadu di sekitar bandar Lahad Datu, pada pagi Isnin.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata operasi yang bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir jam 1.00 petang itu telah mensasarkan kawasan sekitar Bandar Lahad Datu termasuk di Dataran Palma.
“Seramai 37 anggota penguatkuasa yang terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasa telah menyertai operasi berkenaan termasuklah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Air, Majlis Daerah dan ESSCOM sebagai agensi penyelaras”, katanya dalam satu kenyetaan di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan pasukan keselamatan telah memeriksa seramai 46 orang dan daripada jumlah tersebut 3 orang telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Tambahnya lagi, Majlis Daerah Lahad Datu telah mengeluarkan 8 notis kompaun yang dikeluarkan di bawah undang-undang kecil hawkers by law 1972 termasuk menyita 15 kg pelbagai jenis buah yang dijual tanpa memiliki lesen penjaja yang sah.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 7 keping saman atas pelbagai kesalahan seperti lesen kenderaan motor tamat tempoh, tidak mempunyai lesen memandu dan lain-lain kesalahan”.
“Kesemua suspek PATI telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing”, katanya.