KINABATANGAN (17 Dis) – Keadaan keselamatan di Sabah khususnya di pantai timur negeri ini lebih terjamin susulan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau meminta penduduk agar tidak ragu-ragu dengan aspek keselamatan di kawasan mereka.
Katanya, pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam menjalankan operasi penguatkuasaan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) membolehkan ESSCOM digeruni penceroboh khususnya dari negara jiran.
“Insiden Tanduo yang berlaku pada 2013 bukan sahaja membuka mata pasukan keselamatan berhubung pentingnya penguatkuasaan lebih ketat, malah ia menunjukkan pentingnya sempadan negara perlu dikawal sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Rakyat Bersama ESSCOM di Dataran Kinabatangan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rashid; Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Noor Alam Khan.
Katanya, walaupun pasukan keselamatan sentiasa memberi jaminan tahap keselamatan adalah tinggi, tetapi masyarakat perlu bekerjasama dengan pasukan keselamatan sekiranya mengesyaki sesuatu perkara yang mencurigakan.
“Bantu pasukan keselamatan dengan menyalur maklumat jika mengesyaki perkara tidak baik kerana masyarakat ini adalah mata dan telinga kerajaan serta pasukan keselamatan,” katanya.
Razarudin berkata, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan ESSCOM bertujuan memastikan aspek keselamatan di ESSZONE sentiasa terjamin.
“Menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan secara berterusan menunjukkan ESSCOM melaksanakan tugas dengan baik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.