SANDAKAN (15 Dis) – Penugasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tertumpu kepada tanggungjawab menjaga ketenteraman awam di kawasan komuniti masing-masing.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata anggota RELA tidak terbabit dalam operasi, namun mereka boleh menjadi mata dan telinga bagi mengekang jenayah rentas sempadan.
Katanya, jumlah anggota RELA yang ditugaskan di kawasan itu juga akan dinilai dari semasa ke semasa dan ditambah jika ada keperluan pada masa akan datang.
“Anggota RELA tidak akan terbabit dalam operasi, cuma fokus kepada komuniti dan ketenteraman awam serta akan bertugas di kawasan komuniti masing-masing.
“Kita akan lihat dulu kumpulan perintis pertama dan jika ada keperluan, mungkin jumlah mereka ditambah berdasarkan keperluan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Eksesais PASAK 3 ESSCOM di Lapangan Terbang Sandakan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Komander ESSCOM, Datuk Badrulhisyam Muhamad dan Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin.