TAWAU, 8 Nov — Peruntukan besar sebanyak RM660 juta yang diberikan kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam Bajet Negara 2015 menunjukkan kerajaan Persekutuan mengutamakan keselamatan rakyat Sabah, terutama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), kata anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh.
Beliau berkata peruntukan itu diharap dapat memperkasakan lagi peranan dan fungsi ESSCOM dalam mengawal keselamatan di perairan ESSZONE.
“Peruntukan ini merupakan bukti jelas kerajaan Persekutuan begitu prihatin dan mengambil berat terhadap aspek keselamatan penduduk di ESSZONE khasnya di daerah Tawau ini tanpa diselubungi dengan perasaan ketakutan.
“Saya berharap agar tahap keselamatan di ESSZONE akan dapat dipertingkatkan lagi dengan menempatkan beberapa kem tentera dan batalion pasukan keselamatan di ESSZONE,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Semarak Bersama ESSCOM di Desa Wawasan Merotai Besar dekat sini hari ini.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah merangkup anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap ADUN Merotai Datuk Pang Yuk Ming, Adun Sebalik Muis Picho, Komander ESSCOM Dato’ Abdul Rashid Harun, Pengarah Awam ESSCOM Ruji Ubi dan presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ismail Mayakob.
Abdul Ghapur berkata pewujudan ESSCOM merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menjamin keamanan dan keselamatan khsusunya penduduk yang tinggal pesisir pantai timur negeri ini.
“Sejarah hitam yang melanda negara kita ekoran pencerobohan tentera Sulu daripada selatan Filipina awal tahun lepas yang mengorbankan beberapa anggota pasukan keselamatan kita telah banyak memberi pengalaman dan pengajaran berharga kepada kita semua bahawa keamaman dan keharmonian yang kita nikmati sekarang perlu dijaga dan dipertahankan,” katanya.
Beliau turut menyokong langkah kerajaan Persekutuan yang telah menstruktur semula ESSCOM bagi memantapkan keupayaannya dalam menjaga kedaulatan negara.
“Selepas penstrukuturan semula ESSCOM, kita telah melihat beberapa pembaharuan dan langkah drastik dilaksanakan oleh ESSCOM di kawasan “hot spot” di ESSZONE yang ternyata berkesan untuk mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kes penculikan dan penyeludupan.
“Dalam hal ini, saya memuji langkah berani pihak kerajaan khasnya ESSCOM yang menguatkuasakan “perintah berkurung” di enam perairan daerah di ESSZONE iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Sejak langkah ini dikuatkuasakan beberapa bulan lalu, tiada lagi kes penculikan baru yang dilaporkan,” katanya.
Abdul Ghapur juga bangga dengan kejayaan pasukan keselamatan ESSCOM yang berjaya menumpaskan seorang suspek penjenayah rentas sempadan yang dikehendaki di perairan Semporna baru-baru ini.
Beliau berkata penganjuran program Semarak Bersama ESSCOM itu tepat pada masanya dan wajar disokong semua pihak, dan berharap masyarakat khususnya di Merotai Besar dapat mengambil peluang itu untuk mendalami dan memahami peranan dan fungsi yang dimainkan oleh ESSCOM dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah khususnya di ESSZONE yang merangkumi 10 daerah dari Kudat ke Tawau meliputi kawasan pesisir pantai sepanjang 1,733.7 kilometer.
Leave a Reply