KUALA LUMPUR : (9 Okt) Pengarah Bahagian Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Ruji Ubi mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab di pejabat MKN, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan beberapa perkara termasuk struktur baru ESSCOM.
Turut dibangkitkan ialah isu mengenai halatuju ESSCOM yang dipertanggungjawab untuk menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan serta melaksanakan program bahagian awam di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Ruji dilantik sebagai Pengarah Awam ESSCOM berkuatkuasa 1 September lepas.
Pengarah Awam ESSCOM merupakan jawatan baru yang diwujudkan berikutan penstrukturan semula organisasi ESSCOM yang dipertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan di ESSZONE.
Penstrukturan semula yang berkuatkuasa 15 Julai lepas itu menyaksikan pewujudan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam.
Ketika mengumumkan penstrukturan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata DCP Datuk Abdul Rashid Harun yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCOM pada ketika itu dilantik sebagai Komander ESSCOM untuk komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan.
Sebelum penstrukturan semula, ESSCOM diketuai oleh seorang Ketua Pengarah iaitu Datuk Mohammad Mentek.
Leave a Reply