ESSCOM SELARAS OPERASI PEMANTAUAN UDARA DI ESSZONE
LAHAD DATU (22 November) – Bahagian Operasi Udara Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) hari ini telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan menyelaras pengoperasian pasukan keselamatan udara termasuk memantap dan memperkukuhkan lagi aspek pemantauan dan tinjauan udara khususnya di kawasan yang disyaki menjadi laluan dan “staging point” penjenayah rentas sempadan di perairan pantai timur Sabah.
Ketua Staf Bahagian Operasi Udara ESSCOM Brig. Jen. Ayub Khan Mohamad Khan berkata langkah penyelarasan ini penting supaya semua agensi penerbangan termasuk daripada detachment skuadron-skuadron penerbangan yang terlibat secara langsung dalam pengoperasian udara di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) mengetahui peranan dan strategi diguna pakai oleh ESSCOM di dalam mengawal dan memantau perairan pantai timur Sabah dari sebarang ancaman penjenayah rentas sempadan.
Beliau berkata perbincangan ini adalah untuk mencari titik persamaan dalam usaha untuk mewujudkan keseragaman pelaksanaan pengoperasian udara yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan udara di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
“Perbincangan yang julung-julung kali diadakan ini telah dihadiri oleh semua agensi penerbangan yang terlibat secara langsung dalam tugas ini termasuk daripada Pangkalan Udara 22 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Unit Udara Kem KD Sri Semporna, Unit Udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam dan PUKALUB Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Keterlibatan dan kehadiran mereka dalam perbincangan ini telah menunjukkan komitmen tinggi pasukan Udara daripada semua agensi penerbangan di ESSZONE mengenai keseriusan pihak ESSCOM mempertahankan pantai timur Sabah daripada sebarang ancaman luar”, katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Koordinasi Operasi Udara di Pejabat ESSCOM, di sini, hari ini.
Beliau berkata penglibatan daripada mereka juga menunjukkan kesungguhan dan kesiapsiagaan pasukan udara demi untuk menjaga kepentingan dan keselamatan negeri ini dari anasir-anasir luar yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat khususnya di pantai timur Sabah yang kini menjadi tumpuan para pelancong samada dari dalam mahu pun luar negara.
Beliau berkata semua pihak telah memberikan taklimat mengenai peranan dan tugas operasi yang telah dilaksanakan di kawasan tanggungjawab (KTJ) masing-masing.
Selain itu katanya, satu sesi perbincangan untuk mengenalpasti masalah dan kekangan-kekangan yang akan dihadapi turut dikupas secara mendalam supaya satu jalan penyelesaian konkrit dapat di capai agar tidak mengganggu atau mengehadkan semua operasi pemantauan udara apabila operasi dilaksanakan kelak.
“Semua permasalahan yang dihadapi oleh semua agensi yang terlibat dalam operasi udara akan diselesaikan dengan segera supaya tidak mengganggu kelancaran operasi pemantau pasukan keselamatan dari udara”.
“Saya berharap dengan adanya perbincangan ini, Bahagian Operasi Udara ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penerbangan udara yang lain akan dapat membantu ESSCOM memantap dan memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan timur Sabah khususnya di kawasan-kawasan “hotspot” yang dsyaki mejadi laluan dan tumpuan penjenayah-penjenayah rentas sempadan melakukan jenayah penculikan”, katanya.
KAWALAN KESELAMATAN DI ESSZONE PERLU TERUS DIPERTINGKAT WALAUPUN ADA KEKANGAN
KOTA KINABALU (13 Nov) — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta agar pihak berkuasa khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) perlu terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di negeri ini terutamanya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Beliau berkata walaupun terdapat pelbagai kekangan termasuk keupayaan tenaga dan kewangan yang terbatas, namun usaha meningkatkan kawalan keselamatan perlu terus dilaksanakan sebaik mungkin untuk memastikan keselamatan di negeri ini terus terjamin.
“Hari ini semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah diberi taklimat mengenai keadaan keselamatan semasa di Sabah khususnya di ESSZONE oleh ESSCOM.
“Taklimat ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk Pasukan keselamatan termasuk ESSCOM bagi memastikan keadaan keselamatan di negeri terus terkawal terutamanya di kawasan pantai timur Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ringkas selepas sahaja taklimat isu dan keselamatan oleh ESSCOM di bilik rafflesia, Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.
Turur hadir Timbalan Komander ESSCOM Brig. Jen. Dato’ Badrul Hisham Mohamad, Ketua Staf Perisakan SAC Datuk Hashim Justin dan Ketua Staf Operasi Darat SAC Ahmad Fuad Othman dan Pengarah Khidmat Keurusetiaan ESSCOM En. Raymie Amiril.
ESSCOM SIAPSIAGA GERAKAN SEMUA ASET KAWAL PANTAI TIMUR SABAH
LAHAD DATU (1 Nov) – Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa siapsiaga menggerakkan semua aset dan tim pemantau di semua pos-pos kawalan barisan hadapan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, orang awam terutama masyarakat setempat diminta segera menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan sekiranya menyedari pergerakan yang mencurigakan di kawasan perairan ESSzone.
“Kita sudah menggerakkan kesemua aset di lapangan dan pos kawalan bahagian hadapan untuk meningkatkan rondaan di kawasan perairan.
“Saya minta masyarakat di kawasan (ESSZone) ini supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada pasukan keselamatan sekiranya mengesan pergerakan meragukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan portal berita dalam talian, Marine Link yang mendakwa 10 ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf merancang melakukan aktiviti penculikan di kawasan terpencil di Sabah.
Laporan itu menyatakan, Pusat Perkongsian Maklumat (ISC) Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP) menerima maklumat itu daripada pasukan keselamatan Filipina baru-baru ini.
Menurut laporan itu lagi, kumpulan penculik berkenaan menyasarkan ahli perniagaan atau kru kapal asing yang melalui kawasan perairan terutama di timur Sabah dan Laut Sulu, di Filipina.
Hazani yang tidak menafikan kesahihan laporan itu mengakui menerima maklumat yang sama daripada pasukan keselamatan di Filipina.
Beliau bagaimanapun, memberi jaminan tahap keselamatan di pantai timur Sabah pada ketika ini berada dalam keadaan terkawal.
74 DIPERIKSA, 65 KILO KABEL HARAM DIRAMPAS DALAM OP BERSEPADU KHAS ESSCOM
LAHAD DATU (31 Oktober) – Seramai 74 individu telah diperiksa dalam Operasi Bersepadu Khas (OBK) yang diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di dua lokasi berasingan sekitar daerah ini pada Ahad lepas.
Komander ESSCOM, DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan, berkata dua lokasi tersebut ialah di Kampung Ipil dan sekitar pusat bandar Lahad Datu.
Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dilakukan selepas kesemua individu terbabit yang terdiri 44 lelaki dan 30 wanita mengemukakan dokumen pengenalan diri sah mereka.
“Selain mengesan dan menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penjualan barangan seludup, operasi ini juga bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang dan menunjukkan kehadiran pihak keselamatan terutama di kawasan-kawasan yang disasarkan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan dan penguatkuasa yang telah menyokong dan bersama-sama terlibat dalam menjayakan operasi ini. Kehadiran pasukan OBK juga mendapat sokongan yang baik dari penduduk setempat sehingga operasi ini dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang masalah,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, menerusi operasi sama kata Hazani, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah ini juga telah mengeluarkan sebanyak 16 keping notis kepada pemandu jalan raya di sini atas pelbagai kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu selain lesen memandu tamat tempoh, tidak memakai talipinggang keledar dan meletakkan kenderaan ditempat yang tidak dibenarkan.
“Kabel seberat 65 kilogram turut berjaya dirampas oleh pihak SESB kerana disyaki digunakan untuk kegiatan penyambungan elektrik secara haram,” katanya lagi.
Sementara itu, operasi yang dilaksanakan seawal pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari telah disertai 73 anggota penguatkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, MDLD, Angkatan Tentera Malaysia, SESB, Jabatan Air Daerah, Jabatan Tanah Daerah dan Pejabat Daerah Lahad Datu.
“ESSCOM akan terus fokus melaksanakan Operasi Bersepadu (OB) dari semasa ke semasa di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) dalam usaha membanteras kemasukkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk mengesan penjualan barangan seludup dan terlarang,” katanya lagi.
PENGUSAHA PUSAT PERANGINAN DAN PERIKANAN LAUT DALAM DI ESSZONE DIMINTA TINGKAT ASPEK KESELAMATAN
SANDAKAN (16 Okt) – Para pengusaha pusat peranginan, ikan dalam sangkar dan pemilik bot nelayan di Zon Selamat Timur Sabah diminta meningkatkan aspek keselamatan, termasuk dengan memasang Litar Video Tertutup (CCTV) berdefinasi tinggi (HD) dan Sistem Pengenalan Automatik (AIS).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata ini bagi membantu proses mengecam pelaku jenayah jika berlaku insiden tidak diingini.
Katanya bagi pemasangan CCTV HD di pusat peranginan dan projek ikan dalam sangkar, ia penting dalam mengenal pasti pelaku berbanding CCTV biasa, kerana ia mampu menunjukkan muka sesiapa sahaja walaupun dalam keadaan hanya ada sedikit sahaja cahaya di kawasan itu.
“Bagi bot nelayan, pemasangan AIS perlu kerana ia penting dalam menentusahkan keberadaan mereka samada di perairan negara atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog bersama Pengusaha Pelancongan, Pemilik Bot Nelayan dan Sangkar Ikan di sini, semalam.
Sesi itu melibatkan pengusaha dari daerah ini, Beluran serta Kinabatangan, dan turut hadir ialaj Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Peter Hii Chang Lik, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt. A. Sahak Rahmat dan Ketua Polis Daerah Beluran Supt Shivanathan Velautham.
Ditanya mengenai perkembangan terbaharu kejadian dua nelayan warga Indonesia diculik oleh dua lelaki bersenjata ketika menangkap ikan di Pulau Bodgaya, Semporna, pada 11 Sept lepas, Omar mengesahkan dua panggilan sudah dibuat oleh pihak suspek kepada isteri mangsa di Sulawesi Indonesia pada 18 Sept lepas meminta wang tebusan RM4 juta.
Menurutnya panggilan kedua dibuat pada 28 Sept kepada majikan di Tawau bagi mendesak bayaran itu.
ESSCOM & PDRM TEMBAK MATI DUA TALI BARUT KFR DI PERAIRAN KUNAK
KUNAK (21 SEPT) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada IPK Sabah, IPD Kunak, Unit Tindakan Khas dan PGA BN 17 telah menembak mati 2 suspek tali barut Culik untuk tebusan (KFR) berumur dalam lingkungan 50-an di perairan pulau Boheyan, Kunak pada jam 10.45 malam, dekat sini malam tadi.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata hasil maklumat orang awam, kira-kira pada jam 10.30 malam sepasukan anggota yang terdiri daripada ESSCOM, IPK Sabah, IPD Kunak, UTK dan PGA BATALION 17 telah digerakkan untuk melakukan Op Gasak Khas di kawasan Kg. Kunak 3.
beliau berkata apabila tiba di kawasan perkampungan berkenaan, kelihatan sebuah bot pam memecut keluar melarikan diri ke arah pulau boheyan.
“Ekoran daripada itu, sepasukan anggota yanf diketusi oleh ACP Mohd. Nasaaruddin M. Nasir telah digerakkan untuk mengejar bot pam berkenaan sehinggalah berlaku tembak menembak antara pasukan keselamatan dengan penjenayah berkenaan.”
“Kita berjaya menembak mati kedua-dua suspek berkenaan dan pemeriksaan lanjut terhadap bot pam berkenaan, pasukan keselamatan telah menemui dua pucuk revolver jenis .38 dan .22 dengan masing-masing mempunyai 1 dan 7 butir peluru hidup di dalamnya, 5 butir kelongsong peluru .38 dan sebilah pedang samurai di dalam bot pam berkenaan”, katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kunak sebentar tadi.
Turut dirampas bot pam berwarna biru kuning dan enjin pam jenama reto berwarna kuning.
Suspek tali barut adalah warga asing berumur dalam lingkungan 50-an berdasarkan kepada pemeriksaan fizikal dan Siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti identiti suspek berkenaan dan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai.
BERHATI-HATI BILA BUAT KENYATAAN TERUTAMA DALAM ISU KESELAMATAN DI SABAH
LAHAD DATU (29 Ogos) – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyifatkan kenyataan pelakon Hairul Azreen yang mendakwa hampir menjadi mangsa culik lanun ketika melakukan penggambaran filem PASKAL di kawasan Semporna, sebagai tidak berasas.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata sepanjang penggambaran filem itu di kawasan pelantar Tun Sharifah Roziah (TSR), pelakon serta semua kru pengambaran filem disertai dan dikawal oleh pasukan keselamatan terlatih yang terdiri daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL).
“Saya percaya tidak ada cubaan melakukan culik kepada mereka. Kenyataan itu mengundang persepsi negatif orang awam terhadap tahap keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).”
“Kenyataan pelakon ini juga amat mengelirukan walaupun ia mungkin hanya gimik promosi filem dan janganlah menggunakan kenyataan ini hanya untuk publisiti murahan bagi menarik minat penonton yang dijangka ditayangkan September depan.
“Setakat ini rekod menunjukkan tidak ada sebarang kejadian cubaan culik atau penculikan berlaku sepanjang 2017 dan 2018 (di pantai timur Sabah),” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hazani meminta semua pihak supaya berhati-hati apabila membuat kenyataan terutama membabitkan isu keselamatan negara khasnya di kawasan Timur Sabah.
“Tindakan undang-undang boleh diambil atas sebab menimbulkan kenyatan tidak benar serta mendatangkan kegusaran masyarakat dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam terutama sekali di kawasan ESSZONE.
“Oleh itu, saya meminta pelakon itu supaya tampil membuat laporan polis supaya pihak ESSCOM dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini Hairul Azreen mendakwa dia dan seorang lagi pelakon, Ammar Alfian nyaris menjadi sasaran lanun ketika membuat penggambaran filem PASKAL di Semporna, pertengahan tahun ini.
ESSCOM WUJUDKAN “ROAD CHECK POINT (RCP)” BAHARU DI SAPI NANGOH, BELURAN
LAHAD DATU (14 Ogos) – Kawasan Keselamatan Khas pantai Timur sabah (ESSCOM) akan mewujudkan satu lagi Road Check Points (RCP) atau pusat pemeriksaan daratan di Sapi Nangoh, Beluran bagi membanteras elemen pergerakan jenayah yang cuba masuk ke negeri ini di kawasan berkenaan.
Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata kewujudan RCP Kalabakan-Sepulut banyak membantu mengekang pergerakan elemen jenayah yang menjadikan Tawau sebagai transit penyeludupan barangan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).
Beliau berkata pelbagai siri tangkapan dilakukan sepanjang RCP dilaksanakan di jalan Kalabakan-Sepulut sekaligus menyekat laluan itu daripada terus digunakan untuk penjenayah.
“RCP kalabakan memang berkesan tetapi wujud balik jalan-jalan tikus dengan banyak, antara yang kita kesan dari Kg. Murut, Kalabakan tembus ke Tingkayu, Silam dan dari Tingkayu keluar di Tongod, Sandakan,”katanya.
Jelasnya, penjenayah bukan sahaja meneroka jalan tikus di kawasan ladang kelapa sawit tetapi juga turut menceroboh kawasan hutan simpan untuk mengelak daripada RCP Kalabakan.
“Penjenayah ini sentiasa mencari ruang dan peluang malah mereka ini siap ada team (pasukan) yang memantau pihak keselamatan kita, bila clear (selamat) baru penjenayah ini bergerak.
“Tekong penjenayah ini pula bukan hanya warga tempatan malah ada warga asing sebab hasil lumayan, bayangkan Pati mereka kenakan cas minimum RM150 seorang kalau 10 orang boleh dapat RM1500semalam,”katanya.
Hazani berkata ramai pihak tidak menyukai RCP ini ekoran turut membantu kepada mengekang aktiviti pembalakan secara haram menggunakan lori.
“RCP banyak orang tak suka, sebab itu saya menitik beratkan integriti kepada semua anggota yang terlibat, saya perlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama kita sepanjang masa,”katanya lagi.
Beliau berkata RCP dicadangkan di Jalan Sapi-Nangoh berbanding Batu 32, Checkpoint Sandakan kerana penjenayah tak boleh ke Telupid dan Pitas.
“Kalau jalan Batu 32 itu boleh kerana banyak jalan tikus”, katanya.
Dalam masa sama beliau kini dalam proses menyeru semua pihak berkuasa lain membantu menjayakan RCP iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perhutanan.
Mengulas lanjut beliau berkata kemudahan rumah di Balai Polis Kalabakan akan menjadi penempatan anggota yang bertugas di RCP Kalabakan.
“Kita tahu Jalan Kalabakan-Sapulut ini digunapakai untuk pergerakan elemen jenayah untuk bersembunyi di pedalaman dan pantai barat kerana tempoh masa yang singkat, sebab itu RCP ini perlu terus ada di situ,”ujarnya.
Untuk rekod RCP Kalabakan mula dilaksana penghujung Mac tahun ini dengan beberapa kejayaan berjaya direkodkan antaranya menahan lelaki warga asing membawa peluru hidup, dan penahanan 40 Pati yang cuba ke Keningau.
SEMUA PEMILIK KAPAL/TUGBOT DI ESSZONE BERWASPADA DAN MAKLUM PERGERAKAN KEPADA ESSCOM
LAHAD DATU (11 Ogos) – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Datuk Hazani Ghazali mengingatkan kepada semua kapal yang melalui perairan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) agar lebih waspada dan memaklumkan kedudukan pergerakan masing-masing kepada Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM.
Beliau berkata, tindakan itu bertujuan
untuk pemantauan daripada pasukan keselamatan sekali gus memudahkan pihak ESSOM membantu jika terdapat sebarang kejadian kecemasan atau jenayah yang berlaku di laut.
“Peringatan ini dikeluarkan ekoran kejadian cubaan rompakan oleh sekumpulan 10 lelaki yang tidak dikenali ke atas sebuah bot tunda di kawasan perairan Tambisan pada pukul 6 petang kelmarin.
“Walau bagaimanapun, penjenayah tersebut telah berjaya melarikan diri setelah menyedari kehadiran bot pasukan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hazani menyarankan agar kapal dan bot sentiasa mengaktifkan sistem Pengesanan Automatik (AIS), melaporkan jadual perjalanan dan menggunakan distress call sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan.
Katanya, ESSCOM tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan semtiasa komited memantau serta memperketatkan kawalan keselamatan di perairan ESSZONE khasnya di kawasan-kawasan hotspot dan disyaki menjadi laluan penjenayah rentas sempadan melakukan jenayah.
“Kerjasama semua pihak memaklumkan kedudukan semasa kapal atau bot tunda untuk tujuan pemantauan dan kawalan keselamatan kepada PUSOP penting dalam memastikan keselamatan pelayaran kapal-kapal berkenaan di perairan ESSZONE sentiasa terjamin,” katanya.
Dalam kejadian kelmarin, sebuah bot tunda bersama 5 krew yang membawa muatan minyak kelapa sawit dalam pelayaran dari Felda Sahabat ke Kuantan, Pahang dikatakan telah didatangi oleh sekumpulan 10 lelaki tidak dikenali sebaik tiba di perairan Tambisan pada jam 6.00 petang.
Kumpulan itu dikatakan telah menghampiri sebelum menaiki bot tunda berkenaan.
Bagaimanapun, dimaklumkan kesemua krew-krew berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan memasuki dek berkunci di dalam bot berkenaan lalu menghubungi pihak pasukan keselamatan.
- 1
- 2
- 3
- …
- 34
- Next Page »